Tuesday, July 31, 2007

ANCAMAN TERHADAP ISLAM DI MALAYSIA

Bahagian pertama...

Menafikan Islam Sebahagian Agama Rasmi Negara

Di Malaysia, Islam adalah agama rasmi negara. Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak pernah dipertikaikan. Namun begitu, sejak kebelakangan ini kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara bukan sahaja dipertikaikan tetapi digugat oleh pelbagai kumpulan dan pertubuhan bukan Islam yang membuat pelbagai tuntutan serta tafsiran yang tidak munasabah terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya di dalam perlembagaan ada dinyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi negara atau ‘state religion’ iaitu merujuk kepada negara Malaysia. Bila disebut tentang agama negara secara dasarnya ia boleh difahami sebagai agama rasmi bagi Malaysia bukannya agama rasmi yang dianuti oleh rakyat negara ini. Tambahan pula Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang pengamalan agama-agama lain dimana rakyat negara ini mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing.


Jadi, kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak seharusnya dipertikaikan kerana majoriti penduduk negara ini adalah beragama Islam. Agama Islam mempunyai sejarah yang cukup lama dan telah berakar umbi di dalam masyarakat sejak ratusan tahun yang lalu. Mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi merupakan satu tindakan yang tidak wajar. Malahan ia boleh dianggap sebagai satu ancaman terhadap agama dan masyarakat Islam. Sekiranya usaha untuk mempertikaikan dan tindakan mengubah status agama Islam tidak dihentikan segera ia dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian kaum di kalangan penduduk negara ini yang sudah terjalin buat sekian lamanya.

Walaupun perundangan dan perlembagaan boleh ditafsirkan daripada pelbagai perspektif tetapi di dalam konteks negara kita, sebarang percubaan mengganggu kontrak sosial yang sudah termeterai itu boleh mendatangkan berbagai implikasi yang negatif dan tidak sihat. Mempertikai dan mengubah status Islam sebagai agama rasmi akan mengundang penentangan daripada masyarakat Islam. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah ia akan menghilangkan jatidiri dan identiti umat Islam di negara ini yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ajaran dan peradaban Islam. Fakta sejarah bahawa Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu adalah milik orang melayu yang beragama Islam. Hubungan orang melayu dengan dengan Islam cukup sinonim sekali dan tidak dapat dipisahkan sebagai satu entiti yang telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu.

Dengan menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak memberikan apa-apa ancaman kepada para penganut agma lain. Orang bukan Islam tetap menikmati haknya sebagai rakyat negara ini. Mereka bebas mengamalkan budaya, menggunakan bahasa ibunda, meniaga, mendapat pendidikan dan melibatkan diri dalam politik serta pembuatan dasar negara. Justeru itu, berdasarkan pada hakikat inilah maka tidak ada sebab kenapa status Islam sebagai agama rasmi perlu dipersoalkan. Agama Islam adalah hak orang Islam. Maka tidak ada alasan untuk orang bukan Islam untuk campurtangan dalam urusan ini.

p/s : nantikan bahagian yang berikutnya dari kami.

-sumber Lujnah Penerangan PAS Pusat-

- Pendidikan - Diploma Pengurusan Bank, UiTM. Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh - Persatuan - Persatuan Bekas Pelajar Izzuddin & Ta'ayah (PBPSISTA)